Friday, January 14, 2011

Takdir Tautan Kasih

Hana Mazira memandang lesu pelamin nan indah di hadapannya sekarang. Cantik. Persis hatinya. Gandingan ungu dan silver. Dia pun pernah mengimpikan warna sedemikian untuk hari bahagianya dengan  seseorang dulu. Namun sekarang, impian tu hanya tinggal kenangan. Dia menyambung kembali kerjanya menggubah bunga telur. Di luar sana, kedengaran suara orang berkaraoke. Ismadi la tu. Mazira membuat andaian. Penduduk kampung memang sudah sedia maklum suara sengau-sengau dia kalau bernyanyi. Tambahan lagi, dia merupakan artis yang biasa membuat persembahan kalau ada majlis kahwin di kampung tersebut. Artis ngetop kampung. Hana Mazira berhenti seketika tatkala mendengar lagu yang Ismadi nyanyikan. Lagu Eddie Hamid, segalanya telah berakhir. Dia menahan air matanya dari gugur.
Di dalam diri ini
Tersimpan duri-duri
Luka yang kau tinggalkan
Tak terpadam walau ku membalutnya
Pedihnya hati ini
Mengenangkan kembali
Kemesraan cinta kita
Hancur berkecai di simpang jalan
Mengapa tergamaknya hatimu
Menghancurkan impianku untuk memilikimu
Apakah tidak layakku
Menyuntingkan dirimu menghiasi kamarku
Yang gelita
Segalanya telah berakhir
Tanpa kerelaan daku
Ku terima suratan takdir
Untukku melupakan dirimu

Mazira mengelap air matanya dengan tisu. Lencun bantalnya dek basahan air mata. Tidak mampu untuk dia menerima hakikat dan kenyataan bahawa sebentar lagi Hadif akan menjadi abang iparnya. Foto Hadif di peluknya erat.
“Jaga akak saya baik-baik ya. Jangan sakiti dia seperti mana awak dah sakitkan saya...” Hana Mazira gagal mengawal emosinya pada tika itu. Bunyi ketukan pintu tidak dihiraukan. Hana Mazira menoleh.
“Kenapa ni?” Puan Latifah duduk di birai katil anak keduanya itu.
“Tak ada apa la bu, Angah baik-baik jer.” Hana Mazira menyibukkan dirinya mengemas pakaian ke dalam luggage. Surat tawaran menyambung pelajaran ke luar negara di simpannya kemas di dalam poket beg.

“Hadif. Saya ada satu berita baik untuk saya kongsi dengan awak.” Hana Mazira duduk di sebelah Hadif. Dia menyerahkan surat tawaran menyambung pelajaran ke luar negara kepada Hadif.
“Awak dapat tawaran menyambung pelajaran ke luar negara kan?” Hana Mazira terkejut lalu mengangguk. Macam mana Hadif boleh tahu, sedangkan surat di tangannya masih belum dibuka apatah lagi dibaca. Siapa yang bagitau kat Hadif? Dia bertanya sendiri. 
“Kalau awak sayangkan saya, jangan tinggalkan saya seorang disini.” Hadif berkata-kata tanpa menoleh Hana Mazira disebelahnya. Hana Mazira terkejut dengan permintaan itu.
“Susah payah saya berusaha untuk mendapat peluang seperti ni Hadif. Dulu awak cakap, awak akan sokong kalau saya sambung belajar”. Hana Mazira masih dapat mengawal emosinya. Ingin rasanya dia memutar kembali waktu semasa Hadif melafazkan kata-kata itu.
“Ikut awaklah. Awak pilihlah, saya atau study awak tu.” Hadif meninggalkan Hana Mazira seribu satu soalan. ‘Mengapa dia berubah seperti ni?’ Hana Mazira menyusuri tasik itu seorang diri memikirkan setiap persoalan yang menghantui mindanya akibat kata putus yang diberikan oleh Hadif. Cinta dan cita. Seminggu dia memikirkan perkara itu. Keluarganya menyokong keputusannya untuk menyambung pelajaran ke luar negara terutama abahnya. Kakak dan adik-adiknya juga tidak membantah malah memberi kata-kata peransang supaya tidak berputus asa dan meneruskan perjuangan dia. Dalam tempoh itu juga Hadif seolah-olah menjauhkan diri daripadanya. Mesej tidak di balas dan call pun tak di angkat. Kepada kakak kembarnya, Hana Nazira lah dia berkongsi semua. Hana Nazira kadang-kadang menjadi posmen dia dan Hadif. Hana Mazira juga tahu, Hadif selalu mesej dengan kembarnya itu, tapi dia tak kisah. Hana Mazira mula goyah dengan keputusannya untuk meneruskan pengajian. Dia cuba untuk menghubungi keluarga Hadif. Mereka juga seolah-olah meminggirkannya. Salah ke aku nak sambung belajar? Salah ke keputusan aku ni? Hadif.....tolonglah saya. Hadif, saya tahu, selama ni saya banyak lukakan hati awak. Saya banyak susahkan awak. Saya dah banyak makan budi awak, tapi salah ke kalau saya nak belajar lagi? Dia mengelap air matanya. Sebulan lepas tu, ada rombongan datang ke rumah. Hana Mazira berasa sangat gembira apabila dia tahu rombongan tu wakil Hadif dan datang untuk meminang. Tetapi kenapa Hadif tidak beritahu awal-awal. Dia tidak siap apa-apapun. Dia berasa pelik, mengapa kembarnya yang bersiap cantik-cantik. Lupa pula, Hadif kan ada abang.
“Pihak kami datang, hendak menyunting Hana Nazira menjadi isteri Hadif...”. Bagaikan halilintar memecah Bumi. Pakkkkkkk. Terlepas pegangan gelas kaca di tangannya. Dengan pantas, dia mengutip serpihan kaca itu. Hatinya berdebar-debar. Betulkah apa yang didengarnya. Air mata mula gugur.
“Ya Allah....” jari manisnya terkena tusukan kaca. Bergetar tangannya mengutip serpihan kaca yang bertaburan di lantai. Dia tidak terasa sakit di jari namun sakit itu lebih terasa di hati.
“Kenapa ni Ngah?” adiknya Hana Mayesa keget apabila melihat darah menitis ke lantai. Mazira hanya menundukkan mukanya. Adiknya juga terkejut tatkala mendengar perkhabaran yang dibawa oleh rombongan lelaki itu tadi. Masakan boleh bercinta dengan adik, berkahwin dengan kakak. Kakak kembar pulak tu. Hana Mayesa mendengus sendiri. Sepanjang hari itu sampai ke hari pernikahan hari ni, Hana Mazira banyak mendiamkan diri, bercakap bila di tanya sahaja. Tempoh pertunangan hanya seminggu.
“Aku nak minta maaf kat kau....”Kakak kembarnya meraih tangannya, namun di tariknya balik. Hana Nazira mengelap air matanya. Dia tau dia bersalah, namun dia pun sayangkan Hadif. Hadif cinta pertamanya. Sebelum ni, dia tak pernah bercinta. Apakan dayanya. Dia pun tidak sedar bila dia mula menyayangi Hadif.  Dia senang akan kehadiran lelaki itu dalam hidupnya. Hana Mazira tidak pernah sesekali membenci kakak kembarnya itu. Cubit paha kanan, paha kiri terasa.
“Aku sayangkan kau lebih dari aku sayang Hadif.”Dia memeluk Nazira. Hanya Tuhan jer tahu macam mana rasa sayangnya kepada keluarganya, dan itu bukan beerti dia tidak menyayangi Hadif. Namun, dia percaya Hadif hanya ditakdirkan untuk menjadi kawan, bukan teman hidupnya.

“Angah….” Hana Mazira terkejut apabila Puan Latifah menyentuh bahunya. Hana Mazira mengelap air matanya. Dia tidak mahu ibunya tahu bahawa dia bersedih, sedangkan sepatutnya dia tumpang bahagia di hari pernikahan kakak kembarnya. Puan Latifah memandang ke arah sudut lain, risau jika anaknya tahu bahawa dia turut berasa sedih dengan apa yang telah berlaku. Sekilas air di laut, dia dah tahu mana jantan mana betina. 9 bulan dia mengandungkan si kembarnya itu, dan selama 24 tahun kembarnya itu membesar di depan matanya. Dia sedar, Hana Mazira sangat menyayangi Nazira, kembarnya itu. Demi kembarnya, dia selalu beralah dengan apa sahaja perkara, termasuk Hadif.
“Dah siap? Ubat semua?” Hana Mazira mengangguk. Hana Mazira menutup luggage nya. Dia pasti, semua barang sudah siap di packing. Pukul sepuluh malam ni, penerbangannya ke Kanada. Dia pun tidak tahu apa hikmah penerbangannya bertetapan pada tarikh pernikahan Hana Nazira dengan Hadif. Dia kelihatan cantik semasa mengenakan kebaya pendek hitam berkerawang merah, dengan selendang yang sedondon warnanya.
“Cantik anak ibu hari ni..” Puan Latifah mengusap kepala Mazira. Mazira tersenyum.
“Tengoklah siapa ibunya…” Puan Latifah mencubit pipi anaknya. Mazira tersenyum lalu memeluk ibunya.

“Aku terima nikahnya Hana Nazira Binti Hanafi….” Dengan tenang Hadif melafazkan kata-kata pengabdian itu. Hana Mazira hanya mampu tersenyum. Bagai pinang dibelah dua. Sedondon berpakaian silver. Dia dapat melihat kebahagiaan di wajah Hana Nazira. Mana mungkin dia mampu menukar ganti kebahagiaan itu. Mazira tunduk, tidak sanggup melihat lelaki yang pernah di cintainya suatu masa dulu dan masih di sayangi itu mencium dahi Nazira yang sudah sah menjadi miliknya dunia dan akhirat. Setitis dua air matanya gugur. Sabarlah hati. Pandangan Hadif dengan Mazira bertaut sebentar sebelum Mazira mengalihkan pandangannya. Dia kini sedar, Hadif dah jadi abang iparnya. Hubungan itu akan terus kekal begitu. Yang berlalu, biarkanlah. Suatu hari nanti, dia akan melepaskan rasa sayang dan rindunya terhadap Hadif itu kepada Nazira, kerana Nazira lebih berhak ke atas Hadif. Itu janjinya. Mazira memeluk dan mencium Nazira. Dia masih mampu menahan air matanya. Dia tidak mahu merosakkan hari bahagia Nazira. Kebahagiaan Nazira, semestinya kebahagiaannya juga.
“Jaga Nazira baik-baik. Jangan sakiti dia seperti mana awak dah sakitkan saya..” HAdif terpana mendengar kata-kata itu. Hana Mazira berlalu selepas menghadiahkan seulas senyuman yang paling manis kepada Hadif. Hadif melihat bekas kekasihnya berlalu dengan perasaan yang bercampur baur. Dia pun tidak tahu, apa yang menyebabkan dia begitu nekad meninggalkan Mazira lalu memilih Nazira. Dia sudah terlanjur memberitahu kepada Nazira bahawa dia menyukai Nazira. Dia tak akan menyakiti Nazira kerana Nazira tidak bersalah. Namun, dia tidak menyangka Mazira yang akan lebih terluka. Ketenangan di wajah Mazira meragut rasa bersalahnya. Memang sikap Mazira dengan Nazira jauh berbeza walaupun mereka kembar. Nazira seorang yang lemah lembut, penyabar dan nampak lebih komited dalam hubungan berbanding Mazira yang cepat angin dan degil tahap dewa. Namun, Hadif turut mengakui, Mazira lebih cantik berbanding Nazira. Wajahnya yang manis ketika marah sangat cantik terutama kalau dia menjeling, Hadif tersenyum. Dia terkejut semasa Nazira memeluk lengannya. Dia sedar, sekarang dia telah sah menjadi suami Nazira dan Nazira dah jadi tanggungjawabnya. Dia akan sedaya upaya untuk membahagiakan Nazira kerana itu pilihannya sendiri. Hana Mazira…..nama itu akan terus di hatinya dan kenangannya bersama Mazira akan sentiasa di ingati, namun ia tidak akan pernah lebih dari seorang kawan.
Hana Mazira menyalami semua keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang hadir di majlis pernikahan Nazira. Dia perlu berangkat secepat mungkin kerana masih ada urusan di Kuala Lumpur yang belum selesai.
“Abah, angah pergi dulu.” Encik Hanafi menahan hiba di hati. Dalam masa sehari, dia ‘kehilangan’ dua orang anak perempuan. Hadif tahu, Mazira memang rapat dengan abahnya. Sebad tu, tak ada siapa yang dapat buli dia. Kalau siapa yang berani, memang kena la. Terima lah ‘kata-kata sedap di dengar’ dari nya. Puan Latifah tidak dapat menahan air matanya. Dia memeluk dan mencium dahi anak seakan-akan enggan melepaskan Mazira jauh darinya.
“Assalamualaikum semua…..” Hana Mazira melambai sambil tersenyum sebelum hilang dalam perut kereta. Mazira berhenti seketika di pantai tempat dia dan Hadif selalu lepak bersama. Hanya Tuhan jer tahu, bagaimana rasa hatinya saat itu. Hati mana yang tidak terluka saat melihat insan yang pernah bertakhta di hati menjadi milik orang lain. Hati mana yang tidak cemburu melihat kebahagiaan itu. Rantai dilehernya dibuka dan digenggam lama lalu di baling ke laut. Rantai itu pemberian Hadif saat dia mula bercinta dengan Hadif. Ia bukan miliknya lagi.
“Semoga kau berbahagia Hadif Imriaz…..”. Kata-kata ringkas itu sangat menyakitkan tatkala di lafazkan. Kesakitan itu, terasa mencucuk di tangkai hati namun Hana Mazira pasrah dengan suratan takdir.                                                                                                                                                                  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...