Wednesday, October 13, 2010

Hanya Untukmu

Pertemuan dua insan ini sangat unik membawa kepada kisah cinta nan agung walaupun tidak seperti Shah jahan dan Mumtaz.....ceritera bermula...

Sedari tadi, seorang lelaki muda ligat memerhati seorang wanita yang bersih mukanya, ditambah lagi keayuannya dengan tudung biru berbunga kecil. Cinta pandang pertama! Love at first sight! Yes,correctly. Hati jejaka itu sudah tertawan. Jejaka tersebut mendekati wanita tersebut. Dia ragu-ragu untuk mendekati wanita tersebut. Dia risau kalau dihina seperti pernah berlaku sebelum ini. Dia tahu dia tidak sempurna, namun dia masih punya hati dan perasaan. Dia menguatkan diri untuk menegur,"Assalamualaikum". Wanita itu menoleh. Dia tersenyum dan mengangguk. Cinta dua insan mekar dan mewangi di taman kasih. Ikatan cinta dimaterai dengan lafaz akad nikah. Mereka berkahwin dengan seadanya mereka, tetapi penuh dengan kesyukuran dan kerahmatan.



Setiap pagi, selepas subuh, si suami akan turun ke ladang dan mengutip buah sawit. Itulah kerja yang mampu dia lakukan demi mencari rezeki untuk dia dan isterinya. Si isteri pula, akan bangun dengan lebih awal bagi menyediakan bekalan buat suami tercinta. Menu harian mereka,air kosong dengan roti kering. Si isteri tidak pernah merungut malah bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sanggup menerima kekurangan dirinya dan menyayanginya sepenuh hati tanpa ragu. Senyuman tidak pernah lekang dibibirnya untuk suami tersayang.
Suatu pagi, si suami bertanya kepada si isteri.."Sayang nak apa sempena ulang tahun perkahwinan kita yang pertama esok?". Si isteri mendongak. Lama dia mendiamkan diri. Dia mendekati suaminya lantas mencapai tangan si suami tersebut kemudian diletakkan di dadanya. Kelihatan air matanya mengalir. Suaminya pun turut mengalirkan airmata. Si suami rasa sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang benar-benar menyayanginya. Walaupun isterinya bisu, namun dia punyai hati yang sangat lembut dan baik.
Suatu hari,isterinya jatuh sakit. Puas berubat namun tidak juga sembuh-sembuh.Si suami bagaikan hilang tatkala melihat isterinya merintih sakit namun tidak tahu apakah penyakitnya. Kadang-kadang, airmatanya tumpah kerana tidak sanggup melihat isterinya begitu.


"Ya Allah ya Tuhanku. Tuhan pencipta langit dan bumi, yang menghidupkan dan yang mematikan. Kau ampunkanlah dosa isteriku,sesungguhnya dia seorang isteri yang taat kepadaku, yang mengasihiku lebih daripada dirinya sendiri. Ringankanlah beban yang dialaminya Ya Tuhanku. Berikanlah aku kekuatan dalam menghadapi dugaanMu ini. Ya Allah ya Tuhanku, jika diberi pilihan, Kau pindahkanlah sakit yang dialaminya kepadaku,sesungguhnya aku rela Ya Tuhanku. Tiada apa yang lebih menyakitkan berbanding melihatnya merintih sakit. Amin, amin ya rabbalalamin". Si suami meraup mukanya yang basah dengan air mata. Bagaimana hidupnya nanti andaikata isterinya meninggalkannya seorang diri di dunia ini. Mampukah dia untuk menghadapi hari esok. Terasa berat akan dugaan untuknya pada kali ini. Di sebalik dinding bilik, si isteri menangis hiba mendengar rintihan doa suaminya. Betapa dia menyayangi suaminya.Dia berpura-pura tidur tatkala mendengar derap langkah suaminya semakin menghampiri. Si suami mengusap manja dahi isterinya seraya tunduk mencium dahinya. menitis air matanya tatkala itu,sedihnya hanya Tuhan saja yang tahu.




Telah kusiapkan
Satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi
Sebagai isteri

Untuk kau penuhi dengan kemuliaan
Seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri...
Ku ingin kau mengerti
Bahawa hidup ini tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku







Doa si suami dimakbulkan. Isterinya sudah kembali sihat. Kelihatan senyuman yang menguntum dibibirnya. Kasih sayang mereka semakin kukuh walaupun diuji dengan pelbagai dugaan. Suatu petang, mereka berjalan-jalan di pekan. Sekian lama baru mereka pergi ke pekan. Ramai orang pelik melihat mereka berdua. Seorang cacat dan seorang lagi bisu. Namun, mereka tidak kisah. Apa yang penting adalah kasih sayang. Ketika lalu di sebuah kedai emas, si isteri berhenti buat seketika. Dia terpandang sebentuk cincin yang cantik. Apakan daya, hendak mencapai tangan tak sampai. Tidak sesekali dia menyusahkan suaminya. Dia tersenyum saat terpandang wajah suaminya. Dia beranggapan, dia tidak ada rezeki untuk mendapatkannya.
Suatu hari, si suami mengambil keputusan untuk mengikut rakannya belayar di laut bagi menperoleh rezeki lebih. Pada mulanya, isterinya tidak membenarkan. Namun si suami tetap dengan pendiriannya. Si isteri melepaskan si suami dengan hati yang sangat berat.

Sedang si isteri tekun menyapu halaman rumah, dia di sapa oleh Pak Leman. Dia berasa pelik, mengapa Pak Leman datang dengan keadaan yang tergesa-gesa. Mendengar saja berita yang disampaikan, si isteri ni terus mengunci pintu dan bersiap-siap menuju ke jeti. Dia berpaut pada tiang, kerana dia dapat merasakan badannya ringan tatkala melihat satu persatu tubuh yang tidak bernyawa dibawa ke darat. Dadanya terasa sesak, pandangan nya gelap buat seketika dan air matanya tumpah tanpa kawalan. Hatinya berdebar-debar. Ingin rasanya dia memutar kembali hari semalam. Biar dia menghalang suaminya supaya jangan turun ke laut. Dia diberitahu hanya mayat suami dan seorang lagi tidak dijumpai. Dia meraung dalam hati. Dia tahu, suaminya tidak pandai berenang akibat kecacatan di kaki kirinya. Si isteri pulang dengan hati yang berduka. Setiap petang, dia akan menunggu kedatangan suaminya di jeti. Saban hari dia menunggu dengan sabar dan linangan air mata. Hampir seminggu berita kehilangan suami dan seorang lagi mangsa,namun masih tiada harapan mengatakan mereka hidup kerana bot yang mereka naiki pecah dan karam. Hati isteri mana tahan mendengar berita seperti itu.



Andai kau pergi 

Hilanglah arahku
Jangan kau pergi
Usah kau pergi
Andai kau pergi hampir pasti
Berteman pilu sepanjang hayatku 


Suatu petang, si isteri kehilangan kata tatkala melihat mayat suaminya di angkat dan di bawa naik ke darat. Terasa luruh jantungnya, hanya air mata menjadi peneman setia. Dia memeluk tubuh suaminya yang kaku itu. Sejuk dirasakan,sesejuk hatinya kala itu. Dia mengusap wajah suaminya. Masih terasa hangatnya pelukan suaminya hari itu. Dia mencium tangan suaminya. Seperti selalunya, apabila dia mencium tangan suaminya, suaminya akan mengusap ubun-ubun kepalanya. Sekarang.......ingin sekali dia menuturkan kalimah "abang", namun dia hanya dapat menzahirkan di hati sahaja. Semasa membuka gengaman tangan suaminya, kelihatan sebentuk cincin emas. Dia mengenali cincin itu. Tika itu, dia tidak menyedari apa lagi yang berlaku. Sudah seminggu pemergian suaminya. Terasa sunyi ya amat hidupnya. Hanya air mata menjadi peneman setia. Dia sangat merindukan suaminya. Doa dan alfatihah tidak putus disedekahkan kepada arwah suaminya. Suatu malam, dia bermimpi. Suaminya datang berjumpa dengannya. Dia menyambut huluran tangan suaminya dan pada masa itu juga terdengar azan Subuh. Sesiapa sahaja yang melihat jenazah si isteri tersebut pasti akan mengalirkan air mata. Dia duduk sambil memeluk kain pelekat suaminya dan masih dalam keadaan bertelekung selain Al-Quran berada di sisinya. Cinta agung,cinta yang tidak perlu di ungkapkan dengan kata-kata. Biarlah hati sahaja yang dapat merasakannya......
KepadaNya kita datang, kepadaNya juga kita kembali..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...